Friday, July 15, 2011

Bulan Sya'ban: Pra-Ramadhan



           Assalammualaikum waraohmatullahhi wabarokatuh.  Semoga semuanya dalam keadaan  sihat wal afiat serta sentiasa di dalam rahmat Allah. Sempena di bulan Sya’aban yang diberkati ini baru lah hari ini saya berkesempatan untuk mencoret sedikit mengenai bulan Sya’ban yang barokah ini. Sebelum ini sibuk menulis tentang BERSIH 2.0 yang kecoh baru-baru ini. Sekarang ini jom kita selidik isu bulan Sya’ban pula.. 


         Apakah kita mengenali bulan Sya’ban ini ? bulan Sya’ban  membawa maksud berpecah-pecah atau berpuak-puak. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dalam keterangan yang lain, dikatakan sebab dinamakan demikian kerana pada bulan ini terdapat berserak-serak (banyak) kebajikan yang perlu direbut oleh umat islam.


Apakah itu “Nisfu Sya’ban”?
      Nisfu bermaksud setengah atau pertengahan, iaitu membawa maksud pertengahan bulan Sya’ban iaitu lima belas hari bulan Syaaban adalah termasuk di dalam hari kebesaran Islam, dan ia merupakan malam yang kedua termulia selepas malam Lailatul Qadar, kerana pada hari itu banyak mengandungi kelebihan dan Allah SWT memberikan atau menurunkan rahmat serta memberikan pengampunan kepada hambanya. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Allah SWT akan melihat kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan akan mengampunkan dosa-dosa seluruh makhluknya melainkan orang syirik dan orang yang berdengki (dalam riwayat lain : orang yang membunuh diri) (Riwayat Ibnu Hibban, Imam Thabrani)

          Malam Nisfu Syabaan adalah malam yang mana mustajab doa orang-orang yang berdoa. Daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda : “Pada malam Nisfu Syaaban, rahmat Allah SWT turun ke langit dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-hambaNya. Maka Allah mengampunkan orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepadanya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang meminta dan mencukupkan orang-orang yang bertawakkal. Dia juga meninggalkan orang-orang yang berdendam tanpa memperlakukan sesuatu ke atas mereka dan mengampunkan dosa-dosa bagi sesiapa yang dikehendakinya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang membunuh jiwa orang yang diharamkan oleh Allah SWT atau orang yang memutuskan silaturahim.”

Mari HIdupkan Malam Nisfu Sya’ban
            Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq ibn Humam daripada Ali ibn Abi Talib RA daripada Nabi SAW bersabda : “Apabila tiba malam Nisfu Syaban, hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana Allah SWT menurunkan perintahnya pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari. Lalu Allah berfirman, “Adakah terdapat di kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Aku ampunkannya. Adakah terdapat di kalangan mereka yang memohon keluasan rezeki, maka akan Aku turunkan rezeki untuknya. Adakah di kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Aku sejahterakannya. Adakah dikalangan mereka begini dan adakah di kalangan mereka begini sehinggalah menjelangnya fajar.” (Dikeluarkannya oleh Ibnu Majah di dalam Sunannya; Hadis No 3822)

Apakah Amalan Yang Boleh Dibuat?
  • Puasa:   Saidatina Aisyah RA berkata : Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak dari bulan Syaaban (kecuali Ramadhan) kerana sesungguhnya Baginda telah berpuasa sebulan penuh di mana Baginda telah bersabda : “lakukanlah apa amalan yang termampu olehmu kerana Allah Taala tidak pernah jemu sehingga kamu sendiri yang merasa jemu.” (Riwayat Bukhari)
  • Solat Sunat: Menurut Syeikh Soleh al Azhari; Imam Besar dan Tenaga Pengajar di Masjid al Azhar, bahawa malam tersebut boleh juga dihidupkan dengan pelbagai jenis ibadah lain untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti solat, membaca al Quran, berzikir dan berselawat ke atas Nabi SAW. Namun menurut Syeikh Salim al Sanhuri, beliau lebih mengutamakan solat sunat Tasbih kerana galakan yang kuat daripada Nabi SAW kepada bapa saudaranya al Abbas RA dan pahalanya amat besar.                                                                                                                                                   
    Pada pendapat Sheikh Salim al Sanhuri, menghidupkan malam Nisfu Syaaban boleh juga dilakukan berseorangan di rumah atau berjemaah di masjid kerana hadis (Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam Nisfu Syaban dan dua malam Raya, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari hati-hati mati.) hadis ini menunjukkan secara umum galakan menghidupkan malam tersebut. Maka terpulanglah kepada kita untuk melakukan mana-mana ibadah selagi ia tidak melanggar landasan syariat. Manakala orang yang menyatakan bid’ah menghidupkan malam tersebut secara berjemaah, tidak mempunyai sebarang sandaran dan dalil melainkan kerana Rasulullah SAW dan para sahabat tidak melakukannya di dalam masjid. Harus kita ingat, Rasulullah SAW tidak melakukannya bukanlah
    menunjukkan ke atas pengharamannya kerana kaedah menyatakan :
    الترك لا يفيد التحريم
    “Setiap perkara yang ditinggalkan oleh Nabi SAW dan tidak disertai larangan daripada Baginda SAW, tidak menunjukkan ke atas pengharamannya.”
     
     ·    Banyakkan Sedekah dan Membaca al-Quran  Daripada Anas b. Malik R.A katanya : sahabat-sahabat Rasulullah apabila mereka melihat anak bulan di permulaan bulan Syaaban mereka bersungguh-sungguh dalam membaca Al Quran.
     
    Pertukaran Kiblat
             Setelah berlaku peristiwa Isra dan Mikraj Nabi Muhammad SAW bertemu Allah Taala dan menerima kewajipan solat lima waktu, sekali lagi berlaku beberapa peristiwa besar kepada seluruh umat Islam di bulan Saaban ini. Antara yang berlaku ialah Allah memenangkan umat Islam di dalam Perang Bani Mustalik dan difardhukan beberapa ibadah khususnya zakat namun peristiwa yang paling besar adalah pertukaran qiblat dari Baitul Maqdis (Masjid Aqsa) ke Makkah (Masjidil Haram).

             Kerap kali Kami melihat Engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang menenadah ke langit, maka Kami benarkan Engkau berpaling mengadap kiblat Yang Engkau sukai. oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan Sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui Bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah Yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang mereka lakukan. (Al-Baqarah : 144)

              Setelah Nabi SAW menerima kewajipan solat lima waktu Baginda melaksanakannya dengan berqiblatkan Masjidil Aqsa selama 16 bulan sebagai mensucikan tempat Nabi di’israkan dan di Mikrajkan ke langit dan tempat suci para nabi-nabi terdahulu A.S. Allah SWT telah menyuruh Nabi SAW supaya berpaling dan mengadap Baitullah. Solat pertama yang dilakukan oleh Nabi SAW selepas tahwil Qiblat ini adalah solat Zuhur mengikut sesetengah pendapat. Selepas peristiwa itu, Baginda SAW menerima pelbagai tohmahan dan cacian dikalangan orang Yahudi dan Nasrani. Dalam membatalkan dakwaan itu Allah SWT berfirman yang bermaksud:

    Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya Yang menjadikan orang-orangIslam berpaling dari kiblat Yang mereka mengadapnya selama ini?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah Yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya ke jalan Yang lurus". (Al Baqarah : 142)

                Begitulah serba sedikit penerangan serba sedikit mengenai bulan Sya’ban. Masih ada setengah bulan lagi untuk memperbanyakkan ibadah dalam bulan Sya’aban ini. Pada esok hari (16 Julai) bersamaan dengan 15 Sya’ban adalah hari Nisfu Sya’ban. Jadi marilah kita berlumba-lumba untuk memperbanyakkan ibadah pada malamnya. Jangan lepaskan peluang ini. Sekadar peringatan untuk diri ini dan kepada pembaca sekalian. Jom imarahkan bulan Sya’ban. Jadikan bulan Sya’ban ini sebagai “pra-Ramadhan” sebagai persedian untuk menempuh bulan Ramadhan yang bakal tiba. Selamat beribadah Ilal liqa’. Assalammualaikum warohmatullahhi wabarokatuh.

1 comment:

  1. http://rocks-box.blogspot.com/2011/07/dah-setengah-bulan-lagi-setengah-bulan.html
    nasib baikla ko post pasal nisfu sya'ban..tpi nk cri gk spe2yg ade crite lagi pasal nisfu sya'ban,byk dah lupe

    ReplyDelete