Friday, July 22, 2011

Mesir: Hak Mahasiswa Dicabul


Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam pernah bersabda: "Barangsiapa yang memudahkan jalan orang yang ingin menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkan jalannya untuk ke Syurga"

                 Assalammualaikum warahmatullahhi wabarokatuh. Semoga semua pembaca dalam keadaan sihat sejahtera. Alahamdulillah dengan limpah dan kurnianya kita dapat kembali bertemu di dalam ruang maya ini.  Posting kali ini ingin melaporkan keadaan mahasiswa/wi yang menuntut di bumi Mesir ini. 
          
            Pada minggu lepas, saudara Mohd Firdaus Madzlan atau lebih mesra di kalangan mahasiswa Islam di Mesir sebagai Ust Alang. Menerima panggilan telefon daripada doktor kuliahnya, di Darul Ifta' Misriyyah. Bahawa beliau telah dibuang daripada universiti atas alasan ada masalah dengan kedutaan Malaysia di Mesir. Kemungkinan besar adalah disebabkan beliau adalah penganjur kepada Bersih 2.0 Mesir baru-baru ini. Saudara Firdaus adalah penuntut kursus lanjutan untuk menjadi mufti di Darul Ifta' Misriyyah. Beliau yang akan menamatkan pengajiannya pada 25 Julai ini, setelah 3 tahun menghabiskan masa untuk melayakkannya menjadi seorang bakal mufti terpaksa berputih mata, atas alasan menganjurkan Bersih 2.0 dan ia tiada kena mengena dengan undang-undang atau kesalahan universiti. Hanya kerana mendapat arahan daripada kedutaan Malaysia, beliau dinafikan haknya.


            Bukan itu sahaja, ada antara pelajar Mesir di halau dari Asrama Rumah Melayu Abasiah(ARMA) gara-gara terlibat dengan perhimpunan BERSIH 2.0 di Mesir. Selain itu, Pengarah Yayasan Terengganu sedang menyiasat pelajar-pelajar dibawah tajaannya yang terlibat dengan perhimpunan BERSIH 2.0 di Kaherah untuk dikenakan tindakan. Tidak cukup dengan itu, Jabatan Penuntut Malayasia Kaherah (JPMK) mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar yang terlibat dengan perhimpunan BERSIH 2.0 tidak dibenarkan untuk membuat sebrang urusan seperti urusan terjemahan pengesahan pengajian dan transkrip peperiksaan.

            Ini lah diantara pencabulan hak mahasiswa/wi yang telah berlaku terhadap pelajar-pelajar di sini. Apakah ini demokrasi dan keterbukaan kerajaan Malaysia? Walhal di Mesir, atau pelajar Malaysia yang belajar di luar negara sama sekali tidak terikat dengan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkannya untuk dikenakan tindakan yang terkandung didalam akta tersebut. Amat malang dan menyedihkan tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia kerana politik sempit. Persoalannya sekarang, mengapa hanya di Mesir diambil tindakan? Bukankah Bersih 2.0 dianjurkan diseluruh dunia? Di Australia, Jepun, Taiwan, United Kingdom, US dan lain-lain lagi? Adakah hanya kerana  kami ini mahasiswa Melayu Islam, maka tindakan tersebut dikenakan keatas diri kami? Jika kerajaan Malaysia ingin mengenakan tindakan sebegitu, biarlah adil, hukum semua penganjur atau mereka yang terlibat dengan tindakan yang sama ditempat-tempat lain. Jangan hanya kerana kami anak Melayu, kamu berani mengambil tindakan, berbanding pelajar bangsa lain? Ini sikap double standart kerajaan Malaysia.

            Di sebabkan tidakan kerajaan Malaysia yang telah mencabuli hak mahasiswa/si pelajar Mesir, jadi kami semua bangkit untuk mempertahankannya. Maka dengan itu semua pelajar-pelajar Mesir berserta persatuan-persatuan pelajar Mesir telah menubuhkan Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (DESAK) sebagai tanda prostes pihak pelajar kepada pencabulan hak mahasiswa/wi Mesir. Pada 19 Julai 2011, pelajar-pelajar Mesir telah mengadakan perhimpunan untuk mengumpul tanda tangan sokongan mempertahankan hak mahasiswa/wi yang bermula dari 6ptg-9.30mlm di dataran Hayyu Asyir, Kaherah, Mesir. Antara aktiviti ketika perhimpunan tersebut adalah seperti solat fardhu berjemaah, bacaan mathurat, qunut nazilah dan beberapa ucapan dari pelajar-pelajar yang dinafikan hak mereka beserta beberapa ucapan dari ketua-ketua persatuan pelajar  Mesir.

            Pada ke esokan paginya, DESAK berserta pelajar-pelajar Malaysia telah berkumpul untuk member memorandum "Bantahan Pencabulan Hak Mahasiswa" kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir yang ketika itu berada di Asrama Anak Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.Namun, memorandum  tersebut tidak berjaya diserahkan. Ini kerana Dato Seri Jamil Khir enggan menerima memorandum tersebut. Beliau bersama rombongan, masuk ke dalam kenderaan rasmi, dan terus beredar meninggalkan para mahasiswa yang ingin menuntut hak mereka yang dicabul oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK).

            Mahasiswa/wi Mesir tidak berputus asa. Pada ke esokan paginya(21 Julai 2011), DESAK beserta pelajar-pelajar Mesir telah bertemu Kedutaan Besar Malaysia Kaherah(KBMK) untuk menyerahkan memorandum “Bantahan Pencabulan Hak Mahasiswa” di pejabat KBMK dan diterima oleh seorang pegawai kedutaan En. Abdul Latif. Turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut pengerusi PMRAM, pengerusi ABIM, presiden PERUBATAN, Yang DipertuaBadan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) .


            Segala usaha telah kami lakukan untuk mengembalikan hak kami sebagai seorang mahasiswa/wi di bumi Mesir ini. Kami semua mahu pihak berwajib mengembalikan hak kami semula seperti yang sepatutnya. Dengan penyerahan memorandum tersebut, kami harap pihak berwajib dapat memperbetulkan keadaan dan menarik sekatan-sekatan terhadap mahasiswa/wi Malaysia yang belajar di bumi Mesir ini supaya ia dapat memudahkan kami di sini untuk menuntut ilmu Allah. Jangan susahkan kami. Berpandukan hadis di atas, insya’allah Allah permudahkan kepada sesiapa yang permudahkan para penuntut ilmu seperti kami jalan menuju ke syurga. Bi taufiq wa hidayah. Assalammualaikum warahmatullhhi wabarokatuh.


No comments:

Post a Comment