Saturday, April 16, 2011

Cubaan Samun : Keprihatinan PMRAM, BKASM Dan HEP Selangor Mesir

KAHERAH, 14 April - Satu kejadian cubaan samun berlaku sekali lagi pada warga Malaysia di Mesir. Semalam, seorang pelajar Selangor Mohamed Salman Mohd Azam (15 tahun) cuba disamun oleh beberapa warga tempatan arab Mesir.

Kejadian berlaku pada waktu tengah hari, ketika pelajar terbabit baru pulang dari kelas pengajian secara bersendirian. Dia kemudian dihampiri sebuah kereta dan 2 orang warga tempatan tersebut berpura-pura menyatakan dirinya sebagai perisik polis (mabahis) lalu mengajak pelajar terbabit ke dalam kereta tersebut.



Tiba-tiba, kereta terbabit memecut laju akibat terkejut apabila cermin belakang keretanya dilempar dengan batu oleh individu tidak dikenali. Pelajar tersebut kemudian cuba untuk melarikan diri tetapi ditahan beberapa kali oleh penyamun terbabit dan akhirnya menurunkan pelajar tersebut di Suq Sayyarat.

Saudara Mohd Yazid Ahmad, YDP BKASM sejurus mendapat maklumat tersebut daripada PMRAM terus ke rumah mangsa yang terletak di Walidain, Hayyu ‘Asyir. Turut bersama beliau ialah Pegawai HEP Selangor, En Mohd Faryzan Subkhi, TYDP 1 BKASM, saudara Abdul Hakim Sazali dan TSU 1, saudara Mohd Saifullah Abu Bakar.

Dalam masa yang sama, turut kelihatan di rumah mangsa ialah Presiden PMRAM, saudara Shahrizan Mohd Hazimie, Timb. Presiden saudara Muhammad Zuhaili Saiman dan Naib Presiden 1, saudara Mohd Adlan Mokhtarudin, YDP Badan Kebajikan Anak Wilayah Mesir (BKAWM) saudara Mohd Adly Bohari serta ahli BKASM yang lain.

YDP BKASM, saudara Mohd Yazid mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap individu tempatan yang mengaku sebagai perisik polis agar tidak menjadi mangsa samun.

Dalam pada itu, Presiden PMRAM juga turut mengingatkan agar mahasiswa Malaysia di Mesir supaya sentiasa mengambil cakna tentang keselamatan diri dan supaya dapat berhubung terus kepada Presiden PMRAM, YDP BKAN atau Pegawai Anak Negeri sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Selesai melawat mangsa, Pegawai HEP Selangor diiringi saudara Mohd Yazid serta beberapa AJKT BKASM dan Badan Pengurus PMRAM bersama mangsa terbabit ke pejabat polis di Madinah Nasr untuk membuat laporan pada jam 4 petang.

Terima kasih diucapkan kepada PMRAM dan BKASM serta Pegawai HEP Selangor Mesir, En Mohd Faryzan Subkhi atas keprihatinan mereka dalam isu-isu kebajikan ahli khususnya Selangor di Mesir.

Sumber asal: web PMRAM (pmram.org)

No comments:

Post a Comment