Monday, March 14, 2016

Adab Berhadapan Dengan Guru ketika Bertalaqi Ilmu



Alhamdulillah syukur kita di atas kurnian tuhan sekalian alam atas nikmat Iman dan Islam , selawat dan salam juga buat junjungan mulia  habibuna saidina Muhammad S.A.W serta ahli2 keluarga baginda dan para sahabat kesemuanya.

Bagi yang sudah biasa ataupun juga yang pernah mengikuti, berada di dalam pengajian ilmu, majlis ilmu bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki Hafidzohullah pasti sudah maklum mengenai adab-adab yang diterapkan oleh Tuan Guru Syeikh sepanjang majlis pengajiannya.

Antara adab ketika kita berada di dalam majlis ilmu. Pastikan kita memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian kita ketika Guru menyampaikan ilmu, mengajarkan ilmu. Janganlah kita mencemarkan sesaat kita berada di Rumah Allah dengan kita melakukan perkara-perkara yang melibatkan urusan duniawi kita. Seperti  di dalam majlis Tuan Guru Syeikh sangat menitikberatkan adab-adab ketika berada di Rumah Allah Jalla Wa'ala.


Hendaklah kita masuk ke dalam masjid dengan kita mendahulukan kaki kanan terlebih dahulu sebelum yang kiri. Dan hendaklah sebelum kita duduk kita solat 2 rakaat terlebih dahulu. Penuhkan saf-saf yang hadapan. Jangan kita membiarkan saf-saf di hadapan kita dibiarkan kosong. Sebaliknya kita lah yang memenuhkan saf-saf tersebut.



Duduklah di hadapan Guru dengan penuh hormat dan beradab. Jangan kita meremehkan adab. Janganlah kita bermain phone untuk sms, berfacebook, berwhatsapp dan sebagainya ketika Guru sedang mengajar. Ini sangat tidak disukai oleh Para Guru kita hatta kepada siapa sahaja pun yang kalau dia mengajar pasti tidak akan suka kalau majlis pengajiannya diganggu oleh perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Begitu jugalah dengan bercakap-cakap dengan kawan sebelah. Sebaiknya apabila pengajian sudah bermula. Jangan kita bercakap dengan sesiapa pun. Berikan tumpuan kita sepenuhnya terhadap apa yang disampaikan oleh Guru yang mengajar. Bahkan jangan kita bermain-main pen dan bermain serban ataupun kopiah kita semasa Guru sedang mengajar kerana semua itu akan menjejaskan tumpuan Guru yang mengajar dan juga orang lain.

Hatta untuk minum air pun. Ada adabnya. Ada sesetengah majlis yang menyediakan kepada jemaahnya minuman baik itu berupa air teh ke, air kopi ataupun sebagainya. Bagi seorang penuntut ilmu. Tidaklah menunjukkan dia itu beradab kepada Gurunya sekiranya dia minum air yang dihidangkan itu di hadapan Gurunya terlebih dahulu sebelum Gurunya yang meminumnya dahulu.

Jadi sekiranya Guru tidak minum maka jangan kita minum. Itu adalah adab kita kepada orang yang mengajarkan ilmu. Bagi mereka yang membawa anak kecil yang masih belum baligh ke dalam majlis ilmu. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anaknya tidak menganggu kelancaran majlis. Sekiranya anaknya itu jenis yang tidak suka duduk diam, berlari sana-sini, bermain sehingga menganggu orang lain, menangis dan sebagainya. Sebaiknya janganlah dibawa ke dalam majlis ilmu. Sekiranya ibu bapa ingin membawa anak-anak mereka juga maka nasihatkan kepada anak-anaknya supaya tidak menganggu orang lain ataupun hendaklah si bapa ataupun si ibu itu duduk hanya di belakang untuk memastikan anak-anaknya dijaga, tidak menganggu orang lain.



Sepertimana yang pernah diberikan perumpamaan oleh Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki Hafidzohullah "Kalau seandainya kita berada di dalam Istana Tuanku. Adakah kita pantas mendapatkan perhatian, tatapan daripada Tuanku. Kalau seandainya sahaja kita bercakap-cakap, bermain-main di hadapan Tuanku? Sudah pasti tidak bukan. Bahkan pasti Tuanku akan murka dengan kita.

Tatkala kita mendapatkan jemputan daripada Tuanku, kita mendapatkan jemputan daripada VVIP ataupun jemputan siapa sahaja untuk kita menjadi tetamunya. Pasti kita akan memastikan diri kita mendapatkan tatapan, perhatian yang khusus daripada orang yang menjemput kita itu. Akan tetapi, kalau seandainya kita tidak memberikan perhatian, kita bermain-main, bercakap-cakap dan melakukan apa sahaja yang sehingga membuat Tuan Rumah itu tidak berkenan dengan kita, murka dengan kita.

Maka sudah pasti kita tidak akan disukai olehnya, kita tidak akan diundang lagi ke rumahnya. Hah!! Itu seandainya kalau kita mendapatkan jemputan, undangan daripada makhluk. Sekarang kita berada di dalam Rumah Allah, kita sudah menjadi Tetamu Allah, kita berada di dalam majlis yang dipenuhi oleh Para Malaikat-Nya Allah dan dihadiri oleh Kekasih-Kekasih Allah Jalla Wa'Ala.

Adakah pantas kita membawa segala urusan dunia kita? Adakah kita ingin cemarkan sesaat kita beribadah, berubudiah kepada Allah di dalam Rumah Allah, berada di dalam majlis ilmu? Yang mana kita sangat mengharapkan tatapan rahmatnya Allah, anugerahnya Allah, makfirahnya Allah, kurniaannya Allah, kasih sayangnya Allah dan redhanya Allah Jalla Wa'Ala.

Sudah pasti tidak pantas bukan. Sudah pasti kita tidak inginkan sesaat kita berada di Rumah Allah Jalla Wa'ala diganggu dengan urusan-urusan yang melalaikan kita, yang menjauhkan kita, yang menjadi penghalang untuk kita mendapatkan daripada anugerah, kurniaan, rahmat, pengampunan, kasih sayang dan redha-Nya Allah kepada diri kita.


Jadi perkara yang paling penting sekali kita kena jaga apabila kita berada di dalam Rumah Allah, hadir di dalam majlis pengajian ilmu adalah adab-adab kita. Kita betulkan balik segala niat-niat kita supaya kita mendapatkan tatapan dan pandangan-Nya Allah Jalla Wa'Ala. Jangan sampai Allah berpaling daripada kita kerana itulah sebesar-besar musibah yang menimpa kepada kita.

Jadi sebaiknya apabila kita duduk di hadapan orang yang menyampaikan ilmu kepada kita maka lebih baik sekiranya kita memilih untuk duduk iftirasyi (tasyahud) daripada duduk bersila. Hal ini adalah sebagai tanda hormat dan adab supaya kita tidak menampakkan kaki kepada orang yang menyampaikan ilmu. Bahkan duduk iftirasyi adalah merupakan sebaik-baik posisi duduk sehingga posisi dipilih di dalam solat yang mana kita lakukan setiap kali kita menunaikan solat.



Dengan duduk iftirasyi juga dapat membuatkan kita dapat memberikan sepenuh perhatian dan tumpuan semasa ilmu disampaikan kerana posisi belakang badan kita yang lebih bersedia daripada kita duduk secara bersila. Akan tetapi tidak semua boleh duduk iftirasyi ataupun duduk seperti nak baca tasyahud dalam jangka masa yang lama maka sekiranya kita hendak duduk bersila. Lebih-lebih lagi mereka yang duduk berhadapan dengan Para Guru maka lebih baik sekiranya menggunakan rida' untuk melindungi daripada ternampaknya kaki kita di hadapan Para Guru.

Dan ingatlah wahai penuntut ilmum Jangan sesekali kita duduk melunjurkan kaki di hadapan Para Guru ataupun di hadapan siapa sahaja ketika kita berada di tempat yang mulia, di majlis yang mulia. Itu kurang adab, kurang sopan namanya.

Jadi hendaklah kita menjaga adab-adab kita ketika kita duduk dengan sesiapa pun. Lama-kelamaan bilamana kita dah biasakan diri untuk duduk iftirasyi InshaAllah tidak akan menjadi masalah buat kita duduk dalam tempoh masa yang lama walaupun akan terasa sedikit kebas.

Apabila kita menuntut ilmu hendaklah kita membawa buku nota dan juga pen. Walaupun kita sudah mempunyai kitab akan tetapi perlulah untuk kita menulis apa yang disampaikan oleh orang yang menyampaikan ilmu kepada kita sebagai catitan buat kita.



Sepertimana yang sering disebutkan oleh Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki Hafidzohullah "Sebagai seorang penuntut ilmu, sebagai seorang yang mengajarkan ilmu dan mengambil ilmu. Janganlah sesekali kalian memegang kitab dengan menggunakan tangan kiri. Tidak kira sama ada kitab itu kitab bacaan qasidah atau zikir dan sebagainya.

Jangan sesekali kita membiasakan diri kita memegang dengan tangan kiri. Jika kita tidak beradab dengan kitab. Bagaimana mahu ada adab dengan ilmu? Sepertimana yang diajarkan oleh Guru kepada Tuan Guru Syeikh ketika di Mekkah "Apa-apa perkara yang baik itu yang mendatangkan kebaikan, manfaat itu haruslah dimulai dengan yang kanan terlebih dahulu."

Dan akhir sekali yang paling penting, sekali apabila kita menuntut ilmu adalah hendaklah kita membawa buku nota dan juga pen. Walaupun kita sudah mempunyai kitab tetapi perlulah untuk kita menulis apa yang disampaikan oleh orang yang menyampaikan ilmu kepada kita sebagai catitan buat kita.

Kata Tuan Guru Syeikh "Ulama terdahulu apabila menuntut ilmu maka sudah pasti mereka akan bersedia untuk mendengar dan menyalin apa yang disampaikan kepada mereka. Bukannya seperti segolongan penuntut ilmu waktu ini datang majlis ilmu tetapi pen dan buka nota pun tak ada.



Guru yang mengajar bawa kitab, bawa pen tetapi orang yang mendengar lagi hebat tidak membawa apa-apa langsung. Hebat sangatkah daya ingatan kita sepertimana Imam Syafi'i Rahimahullahu Ta'ala yang boleh menghafal sesuatu dengan hanya mendengar dan melihat sekali imbas sahaja?

Sudah pasti tidak bukan? Oleh yang demikian ketika kalian hadir di dalam majlis-majlis ilmu maka kalian perlulah membawa adab-adab ketika menghadiri majlis ilmu dengan berpakaian kemas, menghormati Rumah Allah, duduk dengan penuh sopan dan beradab di hadapan Para Ulama, Guru yang mengajar dan hendaklah kalian membawa alat tulis buku nota untuk mencatat ilmu yang disampaikan di dalam majlis ilmu itu.

Jangan kita hanya mendengar sahaja kerana sudah pasti kita tidak akan mengingati sekianya kita tidak menulisnya. Dan ilmu yang kita tulis itu yang kita perolehi itu tidaklah sekadar hanya di kertas-kertas, di buku-buku catatan kita sahaja tetapi perlulah kita beramal dengan ilmu yang kita perolehi itu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Jalla Wa'Ala."

Sumber: FB Saudara Muhammad Shahbudin Mohd Sidik

No comments:

Post a Comment