SEJAK 10 tahun lalu, kota paling suci Islam ini mengalami transformasi besar, sekali gus mencetuskan perbezaan pendapat di kalangan umat di seluruh dunia. Makkah yang suatu ketika dulu dipenuhi debu padang pasir dan terpaksa bergelut untuk menangani pertambahan jumlah jemaah haji dari semasa ke semasa, kini berkembang dengan deretan pencakar langit, kompleks beli-belah dan hotel mewah. Untuk keluarga diraja al-Saud, Makkah adalah wawasan masa depan mereka yang diharap dapat dibangunkan sebagai metropolis gah melambangkan kehebatan negara berkenaan.
Bagaimanapun, tidak ramai yang mahu membincangkan isu itu secara terbuka kerana bimbang berdepan risiko dikenakan tindakan di bawah undang-undang tegas Arab Saudi. Kecuali Turki dan Iran, negara Islam lain ternyata enggan memperkatakan perkembangan di Makkah dan Madinah kerana memikirkan risiko berlaku kekeruhan dalam hubungan diplomatik. Lebih daripada itu, masalah hubungan dengan Riyadh bermakna umat Islam dari sesebuah negara bakal berdepan masalah untuk mendapatkan visa mengerjakan haji atau umrah. Barat pula mendiamkan diri kerana bimbang kepentingan mereka di Arab Saudi terjejas apabila mengambil sesuatu tindakan tidak digemari kerajaan.
Nasib baik ada juga sebahagian kecil arkeologis dan sejarawan yang berani bersuara kerana yakin peluang untuk menyelamatkan saki-baki tinggalan sejarah di Arab Saudi semakin mengecil. Pengarah Eksekutif Yayasan Penyelidikan Warisan Islam, Dr Irfan al-Alawi, berkata tiada sesiapa berani tampil dan mengecam kemusnahan kebudayaan dilakukan di negara itu. “Setakat ini di antara 400 dan 500 tapak bersejarah dimusnahkan dan saya berharap masih belum terlambat untuk mengubah keadaan ini,” katanya. Pakar seni bina terkenal, Sami Angawi turut berkongsi kebimbangan Dr Irfan. “Apa yang berlaku bercanggah daripada sifat Makkah dengan kesuciannya. Kesan tinggalan sejarah Makkah dan Madinah hampir lupus sama sekali dan anda tidak akan menemui apa-apa di sini kecuali bangunan pencakar langit,” katanya.
Kebimbangan paling besar Sami ialah rancangan kerajaan meluaskan Masjidil Haram yang menelan belanja lebih RM3.4 bilion. Pembinaan secara rasmi bermula awal bulan ini dengan Menteri Keadilan Arab Saudi, Mohammed al-Eissa mendakwa projek berkenaan akan ‘menghormati kesucian dan kegemilangan kawasan setempat.’ Pembangunan seluas 400,000 meter persegi itu akan menyediakan ruang tambahan untuk 1.2 juta jemaah haji setiap tahun. Apabila siap nanti, Masjidil Haram akan menjadi bangunan keagamaan terbesar di dunia.
Institut Teluk yang berpangkalan di Washington menganggarkan 95 peratus bangunan bersejarah di Makkah musnah sejak dua dekad lalu. Perobohan itu turut dibantu fahaman Wahabisme yang menjadi pegangan rasmi pemerintah Arab Saudi sejak keluarga Saud berkuasa di Semenanjung Arab pada abad ke-19. Di mata pengikut Wahabi, tapak bersejarah dan makam perlu dimusnahkan kerana ia berpotensi mengembangkan syirik. Apabila keluarga Saud menguasai Makkah pada 1920-an, perkara pertama dilakukan mereka ialah menimbus kawasan perkuburan yang menempatkan ramai tokoh penting dalam sejarah Islam. Sejak itu bermulalah pemusnahan satu demi satu tinggalan sejarah yang ada di negara itu. Daripada tiga tapak sejarah yang diberi kebenaran kerajaan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk diisytihar sebagai Warisan Dunia, tiada satu pun mempunyai kaitan dengan Islam.
Sesiapa yang melakukan tawaf di sekeliling Kaabah hanya perlu mendongak untuk melihat contoh terkini selera monarki Arab Saudi membina bangunan hebat. Di ketinggian 600 meter, Menara Jam Besar Makkah mula beroperasi awal tahun ini dan membayangi Masjidil Haram sebagai satu daripada projek mega dilaksanakan kerajaan. Turut berada dalam pakej pembangunan itu ialah beberapa hotel lima bintang yang hanya mampu didiami segelintir jemaah haji dan umrah kerana bayarannya yang tinggi. Untuk membina bangunan pencakar langit, pihak berkuasa meletupkan seluruh pergunungan dan Kubu Uthmaniyah yang berada di atasnya. Di penghujung lain Masjidil Haram, rumah isteri pertama Rasulullah, Sayidatina Khadijah ditukar menjadi blok tandas awam. Nasib rumah kelahiran Rasulullah kini menjadi tanda tanya.
Turut dirancang adalah perobohan tiang Uthmaniyah yang mengandungi senarai nama sahabat Rasulullah. Bagi orang kebanyakan di Makkah yang menetap di bahagian lama bandar raya itu, pembangunan selalu menyebabkan mereka kehilangan rumah saudara-mara. Seorang daripada mereka mendakwa dia tidak dapat berbuat apa-apa apabila jentolak meratakan rumah keluarganya. “Mereka datang dan memberitahu rumah kami akan dirobohkan,” katanya. Seorang penduduk lain Makkah berkata, ada keluarga bangsawan yang mahu meluaskan istananya. “Tetapi tiada sesiapa berani bersuara,” katanya.
Dalam keadaan serba terbatas itu, Dr Irfan berharap komuniti antarabangsa akan semakin sedar dan bersuara sewajarnya. “Kita tak pernah membenarkan sesiapa memusnahkan piramid, jadi mengapa kita membiarkan sejarah mengenai Islam hilang begitu saja?” katanya.
No comments:
Post a Comment