Wednesday, December 29, 2010

Ziarah Ulama dan Maqam Sekitar Kaherah

Assalammualaikum kepada semua pembaca yang dihormati sekalian. Coretan kali ini ingin melaporkan sedikit aktiviti yang telah dibuat oleh  Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta(DPMT) dibawah Unit Sambutan dan Rehlah telah menganjurkan Lawatan Ziarah Ulama dan Maqam sekitar Kaherah Siri 1 dengan jayanya. Program yang julung kali diadakan diperingkat DPMT yang berobjektifkan untuk mendekatkan lagi para Mahasiswa Islam dengan mengenali para Masyaikh di bumi anbiya’ ini serta mendapatkan terus Tarbiyyah Ruhiyah sempena Imtihan yang tidak lama lagi.

   Lawatan ini diadakan pada 25 Disember 2010 yang lalu, disertai 53 orang peserta dikalangan mahasiswa Tanta dan juga tetamu dari Malaysia yang merupakan ibubapa kepada seorang Mahasiswa Tanta, ustaz Adnan Bin Yusuf. Turut serta semasa lawatan, Saudara Md. Amin Bin Zainal Abidin selaku Timbalan Pengerusi DPMT dan beberapa orang EXCO DPM Tanta.


       Rombongan ini memulakan perjalanan daripada Tanta pada pukul 8 pagi yang menuju ke lokasi pertama di Maqam Imam Syafie serta diteruskan dengan melawat maqam-maqam di sekitar Jabal Muqattam pada sebelah paginya.

        Aktiviti ziarah ulama ini diteruskan dengan lawatan ke Masjid Syeikh Soleh Jaafari. Para peserta menunaikan Solat Zohor disana disertai ucapan beberapa nasihat daripada Syeikh Asyraf.  Beliau merupakan guru Al-Quran yang terkenal dikalangan pelajar Malaysia, Indonesia dan Thailand.

        Para peserta tekun mendengar nasihat daripada beliau. Majlis ringkas diakhiri dengan penyampaian cenderahati ringkas daripada pengarah program iaitu saudara Mohd Firdaus Bin Shaharuddin. Selepas itu, para peserta dibawa melawat sekitar kawasan masjid Hussin dan masjid Azhar.

       Program Jaulah Ziarah Ulama diteruskan lagi dengan ziarah terhadap seorang syeikh Al-Quran yang begitu terkenal dikalangan Mahasiswa Al-Azhar Kaherah, Syeikh Abd Azim Sultan di Asyirah Muhammadiyah. Semasa majlis besama beliau, sheikh banyak menasihati peserta agar dapat menjaga diri dan berhati-hati dengan persekitaran masyarakat mesir. Beliau juga sempat memberikan beberapa tips keselamatan semasa berada ditempat awam. Majlis ilmu tersebut berakhir dengan penyampaian cenderahati .

       Pada sebelah malamnya, para peserta dibawa menziarah seorang ulama hadis yang begitu dikagumi, Syeikh Rifaat Fauzi di masjid beliau, Hayyu Saabi’. Beliau mengijazahkan Musalsal Awwaliyah dan seterusnya beberapa sanad Al-Quran dan Hadis daripada guru beliau Syeikh At-Tijaani.

      Setelah hampir 45 minit bersama Syeikh, para peserta memohon izin untuk beredar kerana masih tinggal seorang syeikh lagi yang belum diziarahi. Kemudian, para peserta bertolak ke hayyu Asyir untuk bertemu dengan seorang syeikh muhaddis yang banyak menyumbang bakti dalam dunia ilmu hadis iaitu Syeikh Mahmud Said Mamduh. Para peserta dijemput untuk memenuhi ruang bacaan beliau yang begitu selesa. Majlis ilmu tersebut dimulakan dengan bacaan  qasidah oleh ustaz Syed Nasiruddin Syed Yahya (S/U Agung DPMT) serta penyampaian musalsal Awwaliyyah daripada syeikh sendiri.



       Turut serta dalam majlis tersebut, Syeikh Abdul Majid daripada Iraq. Dalam majlis tersebut juga Syeikh Mahmud menasihati para hadirin agar belajar bersungguh-sungguh dan memanfaatkan penggunaan masa. Setelah hampir sejam berlangsung, majlis tersebut berakhir dengan jamuan ringan untuk para peserta.
       
      Pihak DPMT mengucapkan syabas dan tahniah kepada AJK Pelaksana yang diketuai oleh Saudara Muhd fadhli Bin Abd Latif (EXCO USR) yang bertungkus lumus menjayakan program ini walaupun dalam fatrah permulaan Imtihan. Tiada habuan yang DPMT dapat janjikan, hanya kepada Allah S.W.T sahaja yang  membalasnya dengan mempermudahkan urusan dalam Imtihan dan Najah dengan baik.

      Mudah- mudahan berkat program yang baik ini dilaksanakan, kita semua mendapat manafaat dan mendapat kejayaan dalam Imtihan serta dunia dan akhirat. Doakan untuk siri ke II. Aminn. Insya'allah semoga kita berjumpa lagi di perjumpaan akan datang.. Wassalam..

No comments:

Post a Comment