Friday, October 3, 2014

TPPA penjajah alaf baru


Alhamdulillah syukur kita di atas kurnian tuhan sekalian alam atas nikmat Iman dan Islam , selawat dan salam juga buat junjungan mulia  habibuna saidina Muhammad S.A.W serta ahli2 keluarga baginda dan para sahabat kesemuanya.

Salam Kemerdekaan yang ke-57 kepada semua rakyat Malaysia. Walaupun sambutan kemerdekaan tahun ini tidak semeriah tahun sebelumnya disebabkan tragedi MH17, namun semangat kemerdekaan pada tarikh keramat 31 Ogos perlu sentiasa diingati supaya rakyat Malaysia tahu bahawa Negara kita ini pernah dijajah satu masa dahulu. Namun begitu, penjajahan berbentuk ekonomi bakal berlaku sekiranya  Negara kita bersetuju menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Setelah lebih tiga tahun menelusuri proses rundingan (semenjak 2010) TPPA dikhabarkan akan dimeterai juga tidak beberapa lama lagi oleh kesemua 12 negara anggota. Amat  wajar untuk kita memahami objektif sebenar TPPA yang digembar gemburkan “hebat’, ia tetap akan menjadi sebahagian daripada agenda rekolonisasi barat. Oleh itu, risiko menandatangani TPPA amat berat dan tidak tertanggung oleh rakyat Malaysia.


Sebenarnya tidak banyak beza di antara ilham TPPA dengan gerakan kolonisasi empayar British lebih 60 tahun dahulu. Sebelum merdeka, kekayaan dan kuasa politik dimonopoli oleh penjajah dan keadaan itu turut dibantu dengan perjanjian Pangkor pada tahun 1874 yang telah mengurniakan mandat besar kepada British untuk menguruskan kekayaan Tanah Melayu pada ketika itu.

Pada hari ini, Malaysia sudah mampu untuk menguruskan kekayaan dengan bijaksana tanpa mengharap bantuan orang lain. Namun demikian, helah baru bagi meneruskan penguasaan barat tidak pernah reda, khususnya selepas Amerika muncul sebagai empayar baharu megantikan Great Britain. Bagi membangunkan semula tamadun yang telah musnah akibat bencana dua perang dunia, Amerika menjadikan kapitalisme dan perdagangan antarabangsa sebagai ideology dan senjata utama. Maka lahirlah perlbagai perjanjian-perjanjian perdagangan antarabangsa antaranya WTO (World Trade Organisation) , Perjanjian Perdagangan Dua-Hala (Bilateral) dan yang terbaru TPPA ini.



TPPA dianggap perjanjian dagang yang revolusioner dari perjanjian sebelumnya  lantaran kandungannya yang lebih ‘komprehensif dan berkualiti’. Nilai pasaran yang ditawarkan oleh TPPA terlalu lumayan untuk ditolak oleh angota TPPA. Bukan itu sahaja, fakta bahawa paksi ekonomi dunia telah beralih arah dari Eropah ke Asia telah menjadi tarikan kuat Amerika untuk menguatkan cengkamannya di rantau Asia-Pasifik. Maka TPPA menjadi taruhan terbesar Amerika dalam mencari kekayaan baru di samping mahu menyekat kemaraan China sebgai kuasa ekonomi baru dari Timur.

Realitinya, dunia antarabangsa pada hari ini tidak boleh mengharap pada keuntungan cukai semata-mata kerana kesan daripada perjanjian-perjanjian lampau. Pada hari ini, antara sumber kekayaan terbaru yang bernilai tinggi ialah harta intelek, yang mana Amerika merupakan pemegang paten terbesar dunia. Melalui TPPA, syarikat-syarikat Amerika telah melobi untuk memanjangkan tempoh perlindungan paten dari 20 tahun kepada 50 sehingga 120 tahun. Sekiranya usaha ini berjaya, ini bermakna sebarang usaha untuk menghasilkan produk tempatan yang lebih berinovasi dan kreatif akan terbantut.

Begitu juga halnya dengan isu pelaburan, yang telah diberikan definasi terlalu luas dalam perjanjian TPPA. Contohnya isu kewarnegaraan tidak boleh menjadi penghalang kepada para pelabur asing untuk menjalankan perniagaan mereka di Negara ini. TPPA juga melarang anggotanya daripada memberikan sebarang keistimewaan buat rakyat tempatan sehingga boleh menjejaskan peluang syarikat asing . Di samping itu, hasil keuntungan daripada perniagaan di Malaysia boleh dipindahkan ke Negara asal  syarikat tersebut tanpa sekatan dan kawalan mata wang sebagaimana pernah Malaysia lakukan dahulu bagi mengelak kegiatan spekulasi. Akhir sekali, rundingan TPPA juga telah mendesak agar semua jabatan dan agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membenarkan penyertaan syarikat asing dalam tender-tender kerajaan yang bernilai ratusan billion ringgit setiap tahun.



Sebenarnya banyak lagi persamaan di antara TPPA dan penjajahan semula ini. Persamaan yang menakutkan ialah hukuman bakal menanti sekiranya peraturan-peraturan TPPA tidak dipatuhi iaitu SAMAN. 

Hari ini, saman ganti rugi adalah senjata pemusnah besar-besaran yang pasti akan menghancurkan ekonomi sesebuah Negara. Industri saman-menyaman di antara syarikat swasta dan Negara berdaulat (yang dipanggil ISDS) telah menjadi perniagaan yang amat menguntungkan firma-firma guaman antarabangsa. Sehingga hari ini terdapat ratusan kes ISDS yang majoritinya dimenangi syarikat swasta. Negara-negara yang bersalah terpaksa membayar ganti rugi bernilai berbilion ringgit kepada syarikat yang kononnya telah dinafikan hak untuk berdagang akibat perlaksanaan dasar-dasar yang mengutamakan anak tempatan atau melindungi khazanah Negara mereka sendiri. Negara-nagera seperti Ecuador, Honduras, Mexico dan Afrika Selatan telah melalui detik-detik hitam ini. Beban terseput sudah pasti tidak mampu ditanggung oleh kerajaan maka beban ini beralih kepada rakyat melalui perlaksanaan cukai yang tinggi.



Kita perlu sedar bahawa TPPA adalah satu lagi agenda penjajahan semula kuasa besar dunia dan Malaysia sebagai sebuah Negara merdeka perlu menolaknya. Menolak TPPA tidak bererti memtuskan hubungan diplomatic dengan rakan dagangan TPPA yang lain kerana tanpa TPPA, Amerika, Australia, Jepun, New Zealand dan kanada masih merupakan rakan dagang terbesar Malaysia semenjak sekian lama.  

Liberalisma ekonomi memang ada kebaikannya namun ia tidak akan memberi sebarang makna sekiranya hanya satu pihak sahaj yang merasai keuntungan, ibarat kata pepatah “menang sorak kampong tergadai”.

Olahan semula dari penulisan Sekutu Kanan Polisi dan Kluster Ekonomi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

No comments:

Post a Comment