Alhamdulillah
syukur kita di atas kurnian tuhan sekalian alam atas nikmat Iman dan Islam ,
selawat dan salam juga buat junjungan mulia habibuna saidina Muhammad
S.A.W serta ahli2 keluarga baginda dan para sahabat kesemuanya.
RAKYAT DIPAKSA TELAN TANPA PILIHAN -
SAIFUL NANG
Jika saya tinggal di
London, New York atau paling terukpun di Guangzhao, Melbourne, Singapura jika
minyak naik saya tak terasa pun. Alternatif disediakan untuk saya sampai
dari sejauh zon 6 Kota London ke tengah bandar ataupun ke zon 6 arah berlainan
dalam masa kurang 1 jam sekalipun semasa penyuraian waktu puncak. Apa nak risau
jika Tuan Mayor Kota London juga naik train ke tempat kerja, untuk mesyuarat
dengan pelanggan di mana-mana sahaja juga boleh naik train. Belanja pun tak
banyak, guna sahaja kad bulanan mereka itu boleh sahaja melacak ke seluruh
London. Untuk ke Manchester, Nottingham (seperti kita nak ke Kota Bharu dan
Kuala Terengganu) boleh guna train juga dengan kekerapan tinggi dan HARGA YANG
MURAH (jika nak banding dengan pendapatan mereka, harga itu memang murah). Ya
betul, mereka bayar cukai lebih tinggi tetapi mereka beri semula kepada rakyat.
Hari ini kita
dipaksa untuk telan kenaikan harga tanpa kerajaan tuntaskan keperluan
pengangkutan awam yang sangat parah. Naik bas pun tidak pasti boleh sampai ke
pejabat tepat atau awal dari masa walaupun ada lorong khusus untuk bas. Saya
minat melihat lorong bas di Istanbul seperti track keretapi yang tidak boleh
dilalui kereta. Tak perlu buat landasan dan tak perlu beli keretapi
mahal-mahal. Guna bas sedia ada juga sudah lebih baik dari membuat projek
pelebaran lebuhraya. Sampai kita ada 50 lorong pun masih tetap tak cukup. Ini
akan berbalik kepada soal mana dahulu. Pemimpin kata rakyat kena dicukai dan
dimansuh subsidi supaya kerajaan mampu bina prasarana pengangkutan awam. Orang
awam pula nampak kerajaan bina dahulu dengan modal sedia ada barulah boleh dinaikkan
sumbangan rakyat kepada kerajaan. Namun, sejauh mana rela rakyat jika
pembaziran berlaku di hadapan mata.
Tindakan pentingkan
diri juga boleh disabitkan. Jika hebat pengangkutan awam nanti Proton punya
jualan merosot pula. Dr. M tak akan berdiam diri dalam menjaga kepentingan
Proton.
Malaysia sudah
diwarisi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam
keadaan yang sudah parah. Dapat pula ke tangan anak yang lahir atas dulang emas
yang tidak pernah merasai kesusahan rakyat secara realistik dan peribadi. Saya
tersinggung semasa pertemuan bersama beliau dalam satu perbincangan
"tehtarik" di Jibby & Co Subang awal tahun ini, beliau berseloroh
tentang isu air dan saya lihat ia tidak kelakar langsung. Pada keadaan gawat
air dengan penggunaannya bercatu dengan asbab beberapa dari kami bercatu air di
rumah sehingga mandipun nak bercatu, beliau boleh berseloroh "Saya boleh
mandi...rumah saya ada air" (lalu ketawa).
Saya tahu ini pedas
untuk Datuk Seri dan saya juga harap tak perlu nak katakan ini secara umum.
Email cadangan berkajang-kajangpun, yang membacanya bukan dia tetapi ditapis
oleh lapisan yang mungkin lihat ini remeh. Tapi kita lupa, jika suara rakyat
ini seperti air. Jika disekat dia akan melimpah juga sehingga satu ketika
limpahan itu akan meruntuhkan empangan yang dibina selama 57 tahun.
Petronas diajar
untuk mengatakan rezab minyak kita tinggal sedikit, tetapi kerajaan lupa
jurutera-jurutera carigali Petronas ada mulut dan ada Facebook. Mereka boleh
bercakap dan mereka selalu bercakap rezab minyak kita sangat banyak lagi.
Sekecil Brunei itu sendiri rezab minyaknya masih lagi tidak habis-habis dan
tidak akan habis sehingga 2030, mengapa kita boleh fikir rezab kita akan habis
pada 2030-an?
Masalah bila orang
senang mentadbir, semuanya mahu dibeli dengan wang. Berikan rakyat BR1M sebagai
gula-gula yang tidak mengenyangkan dan tidak juga berkhasiat. Wang tunai
ditabur-tabur seperti Ali Baba Bujang Lapok memberi sedekah di pasar-pasar.
Turunlah Datuk Seri, Turunlah....
Bukan turun meletak
jawatan, tetapi sebelum itu turunlah melihat SENDIRI kepayahan rakyat. Mungkin
susah untuk Datuk Seri tahu sehingga Datuk Seri menerima gaji RM1500 sebulan
dan perlu berulang alik dengan kereta sendiri yang berhutang dengan bank dengan
kadar faedah bank konvensional dan "Islamik" tapi menjerut leher. Isi
minyak sendiri dan bayar tol sendiri juga bayaran parking. Makan dengan bekal
nasi yang dimasak oleh Datin Seri Rosmah sendiri. Mungkin baru boleh memahami
dengan sebenar-benarnya.
Secara praktikal,
itu mungkin sukar tetapi kami yakin Datuk Seri boleh turun dan lihat sendiri
dan dengar sendiri kata-kata rakyat tanpa perlu protokol Perdana Menteri yang
kadangkala mengarut dan menjarakkan informasi rakyat kepada Datuk Seri. Jika
rakyat tak mampu sampaikan terus, rakyat akan sampaikan dalam media sosial.
Untuk pengetahuan
Datuk Seri, jika Datuk Seri buat lawatan ke sesuatu tempat, orang-orang Datuk
Seri akan jadikan tempat sampah nampak macam Hyde Park. Setinggan nampak macam
hotel 5 bintang tetapi setelah Datuk Seri pulang, semuanya dicabut semula dan
tinggallah semuanya dalam keadaan sediakala sementara Datuk Seri dengan bangga
membuat kenyataan "SYUKURKAH, MALAYSIA SUDAH MAJU".
Apabila minyak naik
harga, kesannya tetap kesan domino. Janganlah Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (Menteri Ayam) membuat kenyataakn memujuk yang harga
barang tidak akan naik. Saban kali berlaku begitu, harga naik tetap naik.
Penguatkuasaan kementeriaan hanya sekadar seperti seorang bapa menegur anak
nakalnya yang panjat-panjat rumah tetamu dan memecahkan pinggan dengan teguran
"Haiiippppp....babab kangg" dan kemudian sambung bersembang semula.
Dulu semasa saya
kecil, saya terpaksa percaya pada RTM. TV3 masa tu kalau nak dapat siaran pun
kena pasang tudung periuk di antena. Setiap kali nak pilihanraya, Van
Kementerian Penerangan akan buat hebahan WAYANG PACAK di pekan sehari Felda.
Ramai-ramai kami berlonggok nak tengok cerita A.R Badul sambil hampar tikar dan
kami juga terpaksa telan kempen pilihanraya yang main dalam wayang pacak ini.
Sekarang surat khabar dan TV sudah bukan sumber doktrinisasi kerajaan lagi,
kami boleh dengar terus dari suara rakyat di sebelah sana juga sebelah sini
tanpa perlu mereka menjadi pemberita.
Datuk Seri, buanglah
darah kerabat dan darah bangsawan yang ada dalam diri. Bercampurlah dengan
marhaen yang sering terpaksa menelan semua yang disuapkan tanpa rela.
Datuk Seri mungkin
lihat, selepas beberapa bulan rakyat akan senyap kembali dan semuanya berjalan
seperti biasa dan Datuk Seri akan buat kenyataan "Alhamdulillah, Rakyat
Malaysia sudah mampu terima kemajuan".
Boleh naikkan harga
minyak, tetapi siapkanlah sarana pengangkutan awam yang murah dan efisyen serta
boleh diharap. Jangan jadikan KEPERLUAN AWAM seperti pengangkutan, elektrik dan
bekalan air sebagai satu perniagaan untuk dasar keuntungan tetapi jadikanlah
itu satu khidmat yang wajib bagi sebuah kerajaan.
Sedarkah Datuk Seri,
di sebalik penerimaan itu bukan kerana kerelaan tetapi kerana mereka terpaksa
mencara jalan survival kerana sandaran mereka kepada Kerajaan sudah tidak
berguna lagi. Nenek tua yang patut berehat terpaksa menjaja untuk tidak rasa
membebankan anak-anaknya yang menjaga beliau. Berapa ramai anak jadi yatim
kerana bapanya maut dalam kemalangan motorsikal kerana mengantuk membuat kerja
tambahan sehingga 20 jam sehari? Berapa ramai anak-anak yang rosak akhlaknya
kerana ibu bapa terpaksa kerah tenaga bekerja siang dan malam? Berapa ramai
anak-anak yang terpaksa menukar ruji mereka dari nasi kepada bubur lembik dan
kangkung? Berapa ramaikan bapa-bapa marhaen akan dipenjara kerana mencuri susu
di pasaraya kerana anak kecilnya menangis kehabisan susu? Berapa ramaikah adik
beradik berbunuhan kerana kesempitan ruang hidup? Berapa ramaikah suami dan isteri
yang bercerai kerana kehidupan sudah jadi terlalu mahal untuk kekal bersama.
Datuk Seri tak
mungkin tahu perkara ini. Kerana ayah, atuk dan keturunan Datuk Seri ialah
orang Bangsawan. Bukan Marhaen yang melarat. Tidak salah jika saya sarankan
Datuk Seri untuk belajar dan mungkin bekerjasama dengan individu yang memimpin
dalam miskin seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya yakin, jika tiada
sekatan pembangunan dari kerajaan pusat, saya yakin cara kepimpinan TGNA mampu
ubah Kelantan menjadi negeri termaju.
Bangsawan dengan
bangsawan, Marhaen dengan marhaen. Jika makan berpinggan emas, masakan tahu
erti tidur berbumbung langit.
Turunlah ke bawah
seperti Khalifah Ummar lakukan....secara DIAM, sembunyi dan tidak dikenali.
Jika turun padang Datuk Seri dengan rombongan sekapal dan gempita siren-siren
polis pengiring, orang buta pun akan tahu PM yang datang.
Datuk Seri, bukannya
marhaen tidak berjimat. Sudah habis susu anak berganti air sirap kurang gula
kami berikan anak-anak kami yang menangis. Bukan juga marhaen malas, kerana
marhaen sampai sudah hampir 24 jam bekerja. Jika tidur itu tidak wajib, 24 jam
itu marhaen akan bekerja.
Bertimbang taralah...
Datuk Seri pembuat
keputusan tertinggi di Malaysia. Input kepada percaturan keputusan Datuk Seri
ialah informasi yang diberi. Jika informasi tidak telus, maka keputusan Datuk
Seri pun akan jadi zalim juga.
Pentadbiran Datuk
Seri terlampau mahal dan sesuap makanan Datuk Seri ialah sebaldi peluh marhaen.
Bil Elektrik Datuk Seri setahun boleh menghantar 50 orang anak-anak Marhaen
menjadi doktor yang tidak berhutang dengan PTPTN. Mungkin juga jika benar desas
desus akan beg tangan Datin Seri yang mahal itu, untuk setiap satu beg tangan
itu bernilai lebih dari pendapatan seumur hidup beberapa orang marhaen.
Datuk Seri, tak
mengapa jika Wawasan 2020 tidak dicapai pada tahun 2020. Apalah guna jika
dicapai tetapi kekayaan negara tidak dapat dirasai bersama, yang miskin terus
tertolak tempatnya dari daratan negara. Saya bukan mengeluh untuk diri saya,
Alhamdulillah saya orang susah dahulu yang kini sudah senang. Minyak naik
banyak kalipun insyaAllah saya masih mampu tetapi saya cuba mendengar dan
memahami marhaen lainnya yang masih mengira syiling dalam saku untuk beli
barang dapur.
Datuk Seri,
MALAYSIA BELUM AMAN. MALAYSIA BELUM MAJU.
SAIFUL_NANG
Orang Marhaen
Orang Marhaen
//nota tambah : Datuk Seri kalau baca,
saya nak ingatkan haritu ada minta nak jumpa Datuk Seri tanpa pelobi-pelobi
projek seperti di Jibby & Co dulu. Saya bersama sekumpulan marhaen yang
sudah buktikan kebahagian dan kemakmuran negara tidak bermodalkan duit sangat.
Datuk Seri boleh menang majoriti 2/3 pun kalau cepat tahu caranya. Tapi tu
lah...kami ni Marhaen kan, lama dah minta jumpa tak dapat-dapat juga. Saya pun
tak suka jadi keyboard warrior berdegar-degar di laman sosial jika dapat
berdepan dan berhadap.
///saya bukan orang politik. Saya bukan
benci Datuk Seri, bukan juga benci kerajaan dan tidak juga penyokong Anwar
Ibrahim jauh sekali bernadikan PERKASA...tetapi saya menulis sebagai MARHAEN
MALAYSIA.
No comments:
Post a Comment