Alhamdulillah syukur kita
di atas kurnian tuhan sekalian alam atas nikmat Iman dan Islam , selawat dan
salam juga buat junjungan mulia habibuna saidina Muhammad S.A.W serta
ahli2 keluarga baginda dan para sahabat kesemuanya.
Salam Kemerdekaan
yang ke-57 kepada semua rakyat Malaysia. Walaupun sambutan kemerdekaan tahun
ini tidak semeriah tahun sebelumnya disebabkan tragedi MH17, namun semangat
kemerdekaan pada tarikh keramat 31 Ogos perlu sentiasa diingati supaya rakyat Malaysia
tahu bahawa Negara kita ini pernah dijajah satu masa dahulu. Namun begitu,
penjajahan berbentuk ekonomi bakal berlaku sekiranya Negara kita bersetuju menyertai Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Setelah lebih tiga
tahun menelusuri proses rundingan (semenjak 2010) TPPA dikhabarkan akan
dimeterai juga tidak beberapa lama lagi oleh kesemua 12 negara anggota. Amat wajar untuk kita memahami objektif sebenar TPPA
yang digembar gemburkan “hebat’, ia tetap akan menjadi sebahagian daripada
agenda rekolonisasi barat. Oleh itu, risiko menandatangani TPPA amat berat dan
tidak tertanggung oleh rakyat Malaysia.
Sebenarnya tidak banyak beza di antara ilham TPPA
dengan gerakan kolonisasi empayar British lebih 60 tahun dahulu. Sebelum merdeka,
kekayaan dan kuasa politik dimonopoli oleh penjajah dan keadaan itu turut
dibantu dengan perjanjian Pangkor pada tahun 1874 yang telah mengurniakan mandat
besar kepada British untuk menguruskan kekayaan Tanah Melayu pada ketika itu.
Pada hari ini, Malaysia sudah mampu untuk
menguruskan kekayaan dengan bijaksana tanpa mengharap bantuan orang lain. Namun
demikian, helah baru bagi meneruskan penguasaan barat tidak pernah reda,
khususnya selepas Amerika muncul sebagai empayar baharu megantikan Great
Britain. Bagi membangunkan semula tamadun yang telah musnah akibat bencana dua
perang dunia, Amerika menjadikan kapitalisme dan perdagangan antarabangsa
sebagai ideology dan senjata utama. Maka lahirlah perlbagai perjanjian-perjanjian
perdagangan antarabangsa antaranya WTO (World Trade Organisation) , Perjanjian
Perdagangan Dua-Hala (Bilateral) dan yang terbaru TPPA ini.
TPPA dianggap
perjanjian dagang yang revolusioner dari perjanjian sebelumnya lantaran kandungannya yang lebih ‘komprehensif
dan berkualiti’. Nilai pasaran yang ditawarkan oleh TPPA terlalu lumayan untuk
ditolak oleh angota TPPA. Bukan itu sahaja, fakta bahawa paksi ekonomi dunia
telah beralih arah dari Eropah ke Asia telah menjadi tarikan kuat Amerika untuk
menguatkan cengkamannya di rantau Asia-Pasifik. Maka
TPPA menjadi taruhan terbesar Amerika dalam mencari kekayaan baru di samping
mahu menyekat kemaraan China sebgai kuasa ekonomi baru dari Timur.
Realitinya, dunia antarabangsa pada hari ini
tidak boleh mengharap pada keuntungan cukai semata-mata kerana kesan daripada
perjanjian-perjanjian lampau. Pada hari ini, antara sumber kekayaan terbaru
yang bernilai tinggi ialah harta intelek, yang mana Amerika merupakan pemegang
paten terbesar dunia. Melalui TPPA, syarikat-syarikat Amerika telah melobi
untuk memanjangkan tempoh perlindungan paten dari 20 tahun kepada 50 sehingga
120 tahun. Sekiranya usaha ini berjaya, ini bermakna sebarang usaha untuk
menghasilkan produk tempatan yang lebih berinovasi dan kreatif akan terbantut.
Begitu juga halnya dengan isu pelaburan, yang
telah diberikan definasi terlalu luas dalam perjanjian TPPA. Contohnya isu
kewarnegaraan tidak boleh menjadi penghalang kepada para pelabur asing untuk
menjalankan perniagaan mereka di Negara ini. TPPA juga melarang anggotanya
daripada memberikan sebarang keistimewaan buat rakyat tempatan sehingga boleh
menjejaskan peluang syarikat asing . Di samping itu, hasil keuntungan daripada
perniagaan di Malaysia boleh dipindahkan ke Negara asal syarikat tersebut tanpa sekatan dan kawalan
mata wang sebagaimana pernah Malaysia lakukan dahulu bagi mengelak kegiatan
spekulasi. Akhir sekali, rundingan TPPA juga telah mendesak agar semua jabatan
dan agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membenarkan
penyertaan syarikat asing dalam tender-tender kerajaan yang bernilai ratusan billion
ringgit setiap tahun.
Sebenarnya banyak lagi persamaan di antara TPPA dan
penjajahan semula ini. Persamaan yang menakutkan ialah hukuman bakal menanti
sekiranya peraturan-peraturan TPPA tidak dipatuhi iaitu SAMAN.
Hari ini, saman
ganti rugi adalah senjata pemusnah besar-besaran yang pasti akan menghancurkan
ekonomi sesebuah Negara. Industri saman-menyaman di antara syarikat swasta dan Negara
berdaulat (yang dipanggil ISDS) telah menjadi perniagaan yang amat
menguntungkan firma-firma guaman antarabangsa. Sehingga hari ini terdapat
ratusan kes ISDS yang majoritinya dimenangi syarikat swasta. Negara-negara yang
bersalah terpaksa membayar ganti rugi bernilai berbilion ringgit kepada
syarikat yang kononnya telah dinafikan hak untuk berdagang akibat perlaksanaan
dasar-dasar yang mengutamakan anak tempatan atau melindungi khazanah Negara mereka
sendiri. Negara-nagera seperti Ecuador, Honduras, Mexico dan Afrika Selatan
telah melalui detik-detik hitam ini. Beban terseput sudah pasti tidak mampu
ditanggung oleh kerajaan maka beban ini beralih kepada rakyat melalui
perlaksanaan cukai yang tinggi.
Kita perlu sedar bahawa TPPA adalah satu lagi
agenda penjajahan semula kuasa besar dunia dan Malaysia sebagai sebuah Negara merdeka
perlu menolaknya. Menolak TPPA tidak bererti memtuskan hubungan diplomatic dengan
rakan dagangan TPPA yang lain kerana tanpa TPPA, Amerika, Australia, Jepun, New
Zealand dan kanada masih merupakan rakan dagang terbesar Malaysia semenjak
sekian lama.
Liberalisma ekonomi memang ada kebaikannya namun
ia tidak akan memberi sebarang makna sekiranya hanya satu pihak sahaj yang
merasai keuntungan, ibarat kata pepatah “menang sorak kampong tergadai”.
Olahan semula dari penulisan Sekutu Kanan
Polisi dan Kluster Ekonomi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)
No comments:
Post a Comment